Tabung Baitulmal Sarawak terima zakat RM875,000 daripada Bank Islam

Spread the love

KUCHING, 13 Mac: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menerima zakat perniagaan daripada Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM875,000.

Ia telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Ekeskutif Kumpulan Bank Islam, Muazzam Mohamed kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibili Abang Mohd Nailie di Ibu Pejabat TBS di Batu Kawa, hari ini.

Abang Mohd Shibli berkata, ia merupakan manifestasi keyakinan pihak korporat terhadap TBS dalam mengagihkan semula kepada golongan memerlukan.

“Mereka (Bank Islam) telah menyumbang sejumlah RM875,000, jumlah yang agak besar walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada 2022.

“Tentu sekali asas mereka untuk mencapai satu kadar itu berdasarkan prestasi, Alhamdulillah, prestasi pelanggan dapat mencapai kedudukan itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan zakat perniagaan tersebut.

Abang Mohd Shibli berkata, sumbangan tersebut akan diagih menerusi program pendidikan, kebajikan, institusi dan kemahiran.

“Setiap tahun memang jumlah yang kita agihkan daripada peratusan kutipan lazim lebih daripada 80 peratus atau dalam lingkungan RM70 juta hingga RM80 juta.

“Kita akan memastikan bahawa mereka yang memerlukan bantuan ini akan dapat tepat pada masa memerlukan kerana memang itu kehendak asnaf,” katanya.

Tambahnya, Bank Islam sentiasa menjalankan tanggungjawabnya menyumbang zakat kepada TBS untuk diagihkan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.