Parlimen: Fadillah sambut baik tambahan dana PKS untuk Sarawak dan Sabah

Spread the love

KUALA LUMPUR, 9 Mac: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyambut baik pengumuman tambahan dana berjumlah RM600 juta kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sabah dan Sarawak.

Fadillah berkata, pada kebiasaannya peruntukan kepada PKS Sarawak dan Sabah akan dirangkumkan dengan negeri lain dan ramai pemain industri di sana tidak sempat memohon.

Dana tambahan PKS: Peluang buat PKS perkasa perniagaan

“Bila rakyat (PKS) Sabah dan Sarawak mohon, dana sudah habis.

“Menerusi pengumuman khusus ini, saya lihat ia beri peluang kepada PKS mendapat dana yang mencukupi,” katanya kepada TVS.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan RM600 juta kepada PKS di Sabah dan Sarawak.

Ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan, Anwar berkata, pinjaman mikro melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM100 juta disediakan serta kemudahan jaminan PKS dari bank sebanyak RM500 juta.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pengumuman itu menunjukkan Perdana Menteri mendengar keluhan PKS di Sabah dan Sarawak.

“Ini sudah pasti akan bantu mereka mengusahakan ekonomi di Sabah dan Sarawak dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.