Trend air menurun di kawasan berisiko banjir di Sarikei

Spread the love

SARIKEI, 6 Mac: Paras air di beberapa kawasan rendah yang berisiko banjir di Daerah Sarikei mula menunjukkan trend menurun namun lokasi terlibat masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan situasi cuaca yang tidak menentu.

Pemantauan yang dilakukan di beberapa lokasi utama mendapati keadaan cuaca baik dan air surut khususnya di Jalan Sarikei ke Bintangor, Selidap, Exora, Rentap dan Dabai.

Anggota Bomba dan Penyelamat Sarikei membantu penghantaran pek makanan untuk penduduk Rumah Sumpun Sungai Selidap. Foto: BBP Sarikei

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, paras air ke jalan utama ke Rumah Sumpun Sungai Selidap yang sebelum ini dinaiki air juga menunjukkan penurunan.

Baca artikel berkaitan:

  1. 1. BBP Kanowit bantu hantar bekalan makanan mangsa banjir di Machan
  2. 2. Banjir pulih, PPS Julau ditutup

“Keadaan atau secara keseluruhan paras air menunjukkan trend menurun atau surut. Bagaimanapun pemantauan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa khususnya di kawasan yang berisiko bencana banjir dan tanah runtuh.

“Langkah berjaga-jaga ini amat penting berikutan keadaan cuaca yang masih tidak menentu. Apa-apa pun bomba sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.

Dalam pada itu, bomba berharap semua pihak terutama pemimpin akar umbi dan penduduk kampung memberikan kerjasama agar proses menyelamat berjalan lancar, sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan penghantaran bantuan makanan bagi membantu mangsa yang terjejas. 

Operasi terkini menurutnya, melibatkan sebanyak 46 pek makanan untuk penduduk Rumah Sumpun Sungai Selidap yang sebelum ini terjejas selepas laluan utama ke rumah itu dinaiki air.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.