Sambutan Jubli Emas SABERKAS dirai di Kuching, 19 Mac ini

Spread the love

LUNDU, 4 Mac: Sambutan Jubli Emas Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) akan diraikan di Kuching pada 19 Mac ini, kata Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurut beliau, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bakal merasmikan majlis yang cukup bermakna untuk golongan belia itu nanti.

“Majlis Pelancaran Jubli Emas ini akan kita anjurkan pada minggu hadapan iaitu pada 19 Mac, bertempat di Kuching. Ia akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.”

“19 Mac ialah tarikh penubuhan SABERKAS pada tahun 1973… Iaitu pada 50 tahun yang lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penangguhan Program Literasi Media Kreatif bagi mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Dewan Mahligai Gading, Lundu di sini, pada Sabtu.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak itu mendedahkan lagi sebanyak 727 program diadakan bersempena Sambutan Jubli Emas SABERKAS tahun ini.

“Salah satu daripadanya ialah Program Literasi Media Kreatif yang akan melibatkan pengisian daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berkenaan dengan sisi gelap dalam penggunaan media sosial,” ujarnya.

Bercakap mengenai program berkenaan, Dr Abdul Rahman berharap dengan adanya perkongsian berkenaan, ia sedikit sebanyak mampu menyedarkan semua pihak untuk menggunakan media sosial dengan sebaik mungkin dalam kehidupan seharian.

Untuk rekod, Program Literasi Media ini akan diteruskan ke tiga lokasi lain yang melibatkan Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Utara. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.