Tiada bukti Najib arah laporan audit 1MDB dipinda untuk elak dikenakan tindakan – Hakim

Spread the love

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan laporan audit akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda untuk membebaskan dirinya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya berkata bekas Perdana Menteri itu hanya bimbang laporan audit itu boleh diputarbelitkan bagi tujuan politik dan pindaan laporan audit itu berdasarkan pertimbangan dan persetujuan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang serta dokumen daripada tertuduh pertama (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy).

“Ini tidak perlu sekiranya pengurusan 1MDB lebih bekerjasama sebelum laporan audit awal diterbitkan. Tiada bukti menunjukkan bahawa Ambrin terpaksa menghadiri mesyuarat atau membuat perubahan kepada laporan audit.

“Mengenai suapan yang dikatakan itu, saya bersetuju bahawa tiada kaitan antara pindaan yang dibuat dan suapan yang didakwa,” kata hakim itu.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak menunjukkan bagaimana item yang dikeluarkan atau dipinda itu boleh menimbulkan liabiliti sivil atau jenayah kepada Najib.

Hakim itu yang membebaskan Najib daripada pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat dalam laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya, berkata beliau berpendapat item yang dikeluarkan daripada laporan audit awal tidak akan menimbulkan sebarang liabiliti sivil atau jenayah kepada bekas perdana menteri itu.

“Pindaan seperti yang dinyatakan oleh Ambrin adalah wajar. Pindaan itu juga diketahui oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan dibincangkan secara terbuka,” kata Mohamed Zaini.

Oleh itu, beliau berkata anggapan di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak boleh terpakai kerana pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan suapan.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Mohamed Zaini berkata malah Ambrin mengesahkan tiada arahan khusus daripada Najib untuk meminda atau mengeluarkan apa-apa daripada laporan audit itu.

“Tiada bukti Ambrin dipaksa menghadiri mesyuarat atau membuat perubahan kepada laporan audit,” katanya.

Beliau berkata Najib berhak menerima salinan laporan audit itu kerana beliau adalah Menteri Kewangan dan pihak berkepentingan bagi 1MDB.

Ini turut diakui oleh Ambrin serta seorang saksi pendakwaan bahawa ia adalah perkara biasa, katanya.

Mengenai dua penyata kewangan 1MDB, hakim itu berkata Najib dilihat tidak mengetahui perkara ini sehinggalah ia dibawa kepada perhatiannya oleh Ambrin.

Hakim itu berkata Ambrin, yang menjalankan pengauditan 1MDB telah diberikan kebebasan untuk menjalankan tugasnya kerana jaminan tempoh perkhidmatan di bawah Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu, Ambrin diberikan kuasa yang luas di bawah Akta Audit 1957.

“Oleh itu, Ambrin diberi kebebasan untuk menjalankan tugasnya tanpa rasa takut dan pilih kasih. Mungkin ada sedikit, jika ada, bagi ketua juruaudit negara berasa takut atau dipaksa membuat keputusan yang bertentangan dengan kepercayaan atau tugasnya

“Beliau dilihat bertekad untuk menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Beliau akan menjawab sebarang soalan yang diajukan dan apabila diperlukan. Beliau adalah contoh sikap profesionalisme,” katanya.

Sementara itu, mengenai Arul Kanda, Mohamed Zaini berkata bekas CEO 1MDB itu tidak cuba melindungi penipuan yang menyelubungi syarikat itu.

“Beliau diambil untuk menyelamatkan syarikat dan telah meninggalkan apa yang dianggap sebagai kerjaya yang hebat di luar negara. Umum mengetahui bahawa beliau telah difitnah secara terbuka atas urusan 1MDB, mungkin secara tidak adil kerana banyak masalah yang timbul sebelum beliau menyertainya,” kata hakim.

Hakim itu dalam membebaskan Arul Kanda daripada pertuduhan bersubahat dengan Najib, berkata tiada bukti dalam perbicaraan ini yang menyatakan beliau (Arul Kanda) bersubahat atau bertanggungjawab terhadap masalah yang melanda 1MDB.

“Saya dapati Arul Kanda telah membuat penemuan yang benar dan jelas tentang semua perkara yang ditelitinya secara sah dan memohon sijil tanggung rugi dengan meterai mahkamah dikeluarkan kepadanya yang menyatakan bahawa beliau telah membuat penemuan yang benar sebagaimana di bawah peruntukan Seksyen 63(3) Akta SPRM.

“Sijil ini akan menjadi penghalang kepada semua prosiding undang-undang terhadapnya berhubung perkara yang berbangkit daripada pertuduhan dalam kes ini.

“Arul Kanda dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan terhadapnya,” kata hakim.

Bagi tertuduh kedua (Najib), beliau juga mendapati pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang boleh dipercayai untuk membuktikan kesalahan yang jika tidak disangkal atau tidak dijelaskan akan memerlukan sabitan.

“Oleh itu tertuduh kedua dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan terhadapnya,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.