KUCHING, 3 Mac: Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 30 pakar bedah kolorektal berbanding hanya tiga orang pakar bedah setakat ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Dr Sim mendedahkan ketiga-tiga pakar itu berada di di Sibu, manakala dua lagi di Kuching iaitu di Hospital UNIMAS dan Hospital Umum Sarawak (HUS).
Menurutnya keperluan menambah golongan pakar itu bertujuan untuk menampung jumlah pesakit kanser kolon yang tinggi di negeri ini iaitu dianggarkan sebanyak 350 kes setahun.
“Adalah pentingnya untuk negara mempunyai kira-kira 200 hingga 300 pakar bedah kolorektal, kerana saya percaya Sarawak dapat menyumbang 10 peratus tenaga kerja dalam merawat pesakit kanser,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Persidangan Coloproktologi 2023 di sini, hari ini.
Berkongsi lanjut Presiden Persatuan Pakar Bedah Kolorektal Malaysia (MSCRS) Dr April Camilla Roslani berkata, kebanyakan pesakit kanser kolorektal di Sarawak sedang dirawat oleh pakar bedah am.
“Adalah penting untuk pakar bedah kolorektal yang selayaknya dalam merawat penyakit kanser kolorektal terutamanya kes kritikal.
“Setakat ini, kami mempunyai kurang daripada 80 pakar bedah di seluruh negara iaitu kebanyakan mereka berpangkalan di Semenanjung Malaysia sahaja,” tambahnya lagi.
Oleh itu, menurutnya memandangkan bilangan pakar yang terhad di negara ini, beliau menggesa untuk pihak kerajaan dan pihak berkuasa penjagaan kesihatan dalam menggalakan lebih ramai pengambilan pakar bedah kolorektal. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.