KUCHING, 3 Mac: Pusat Kanser Sarawak akan dibina segera sejurus kerajaan Persekutuan menandatangani perjanjian berkaitan butiran pembiayaan projek berkenaan, kata Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Timbalan Premier Sarawak itu menjelaskan kerajaan negeri bersedia membangunkan pusat berkenaan terlebih dahulu seterusnya kerajaan Persekutan akan membayar semula kos pembinaan seperti yang dipersetujui sebelum ini.
“Kalau mereka tak tandatangan, bila kita bina nanti, mereka tak akan bayar,” katanya sambil mendedahkan anggaran kos pembinaan pusat berkenaan sekitar RM 1 bilion.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Coloproktologi 2023 di sini, hari ini.
Menurut Dr Sim lagi, terdahulu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dan Hospital Umum Sarawak (SGH) telah membentangkan butiran projek itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung keputusan memuktamadkan jumlah katil pesakit yang disediakan di pusat berkenaan kelak.
Namun begitu, ujarnya jumlah katil masih belum ditentukan ekoran bukan kerana berdepan dengan masalah harga katil sebaliknya ketika ini sedang menimbang keperluan segera dalam perancangan kapasiti katil.
“Ia bergantung kepada sama ada kita mahu 300, 400 atau 500 katil untuk menampung masa depan. 300 katil itu berharga kira-kira RM800 juta, 400 katil adalah kira-kira RM1 bilion dan 500 katil adalah RM 1.2 bilion.”
“Ini kerana permulaan bagi pembinaan hospital mungkin tidak menyediakan begitu banyak katil dengan segera tetapi kita perlu memperuntukkan ruang untuk meletakkan katil tersebut.”
Jika tidak, anda perlu meneliti semula pembinaan tersebut,” jelasnya lagi. – TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.