PPS Kompleks Sukan Julau dibuka menempatkan 18 mangsa banjir

Spread the love

JULAU, 3 Mac: Seramai 18 orang penduduk terpaksa dipindahkan selepas enam kediaman termasuk rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan Meluan di sini, dinaiki air petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Sarikei, Leftenan Pertahanan Awam, Shahrol Azizi Zaidi berkata, kesemua kediaman terbabit dinaiki air setinggi 0.3 meter susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Malah katanya, laluan masuk ke kawasan rumah PPRT terputus akibat limpahan air sedalam 0.9 meter ke jalan raya yang menghubungi jalan besar ke kawasan terjejas.

“Kesemua mereka kini ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) di Kompleks Sukan Julau,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrol berkata, anggota APM dan bomba Julau yang berada di lokasi turut melakukan tinjauan dan membantu proses memindahkan mangsa ke pusat pemindahan yang ditetapkan.

Kesemua mangsa katanya, berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita juga akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa. Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar sentiasa berwaspada demi keselamatan diri masing-masing,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.