Banjir: Kawasan berisiko di Sarikei dalam keadaan berjaga-jaga

Spread the love

SARIKEI, 3 Mac: Kejadian banjir dan tanah runtuh bagi kawasan berisiko di Sarikei diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga walaupun situasi semasa disahkan terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei, Micheal Ronnie Langgong berkata setakat semalam hanya satu pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di Kompleks Sukan Julau bagi menempatkan seramai 14 mangsa dari kawasan Rumah Panjang Edward.

 

Pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka di Kompleks Sukan Julau bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir. Foto: APM Sarikei.

“Buat masa ini keadaan masih terkawal. Kita cuma berharap laporan dari Jabatan Meteorologi Sibu yang mengatakan memang berlakunya kenaikan air pasang dan hujan di satu atau dua tempat yang boleh mengakibatkan berlaku keadaan serius lagi.”

“Sebelum kita mencapai keadaan yang lebih teruk, kita menggesa semua pihak berjaga-jaga dan kesiapsiagaan harus dipertimbangkan dari semua aspek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei, semalam.

Dalam pada itu beliau turut mengesahkan pihaknya juga menerima laporan tanah runtuh berhampiran Rumah Panjang Empeni di sini.

“Usaha baik pulih runtuhan sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” ujarnya.

Tanah runtuh berhampiran Rumah Panjang Empeni. Foto: BBP Julau.

Beliau berkata, sebagai langkah susulan, operasi semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) kini telah diaktifkan bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat serta membantu di lokasi bencana.

Banjir yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Sarikei. Foto: BBP Julau.

Sehubungan itu, tegasnya penduduk khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diingatkan sentiasa peka dan dinasihatkan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan pihak berkuasa.

“Beberapa kawasan berlakunya tanah runtuh akibat hujan dan banjir, seterusnya beberapa daerah juga terjejas. Bagi menangani situasi sekarang yang semakin kritikal kesan daripada Monsun Timur Laut (MTL), JPBD telah mendapatkan maklum balas dan melaksanakan apa-apa yang perlu dilakukan oleh setiap agensi, peranan dan tanggungjawab mereka dalam menghadapi situasi ini,” katanya lagi.

Tambahnya, PPS yang beroperasi di Julau ketika ini mampu menampung seramai 300 mangsa pada satu-satu masa. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.