KUCHING, 3 Mac: Sebanyak 50 lukisan yang mengisahkan kontemporari Kelabit hasil karya Alena Murang bakal diketengahkan pada pameran lukisan solo pertama penyanyi dan pemain sape terkenal itu di Galeri Hoan di La Promenade Mall di sini.
Pameran yang bertemakan ‘Colours of the Highlands’ itu akan menemui orang ramai pada 18 Mac hingga 30 April depan.
Menerusi tema ‘Colours of the Highlands’, Alena mencurahkan kisah-kisah kontemporari Kelabit dalam lukisannya yang dihasilkan sejak sedekad lalu, termasuk lukisan potret dan abstrak.


Menurut kenyataan HSL Sdn Bhd hari ini, pameran ini menawarkan masuk secara percuma kepada orang ramai sementara lukisan yang dipamerkan akan dijual dengan harga RM1,000 hingga lebih RM25,000.
“Beberapa lukisan Alena dihasilkan berdasarkan reka bentuk tradisional Kelabit yang kelihatan seperti pusaran lingkungan besar,” ujarnya.
Kenyataan turut mendedahkan pameran sulung ini juga menyaksikan Alena julung kali membawakan seni gambar-gambar hitam putih lama, pada masa lalu diukir pada batu dan kayu yang amat jarang sekali digunakan oleh masyarakat Kelabit sekarang.
Sementara, Alena berharap pameran ‘Colours of the Highlands’ ini akan mencetuskan minat serta memperkenalkan warisan kontemporari kepada orang ramai.
“Ibu saya memanfaatkan minat saya terhadap lukisan pada usia muda, menggalakkan saya untuk melakar, mewarna, membuat kolaj, menyulam dan melukis,” katanya.
Pameran yang mula membuka pintu pada 18 Mac nanti akan bermula pada jam 7 petang. -TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.