Kerajaan laksana kajian holistik untuk bina sistem pengairan berkesan tangani banjir – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 2 Mac: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kajian secara holistik bagi membina sistem pengairan yang berkesan dalam usaha menangani masalah banjir di negeri ini, termasuk kawasan Batu Kawa.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian akan dijalankan secara berperingkat di seluruh negeri melibatkan kawasan yang berisiko banjir.

Abang Johari menyantuni mangsa-mangsa banjir di khemah masing-masing di PPS Batu Kawa. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS).

“Namun ia akan dijalankan secara berfasa kerana saya percaya pelaksanaannya membabitkan dana yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu Kawa, di sini hari ini.

Memetik contoh melihat kepada keberkesanan sistem pengairan yang dilaksanakan di Belanda, Abang Johari optimis kaedah serupa akan dibangunkan di Sarawak.

“Kalau Belanda yang buat mesti sistemnya bagus. Kalau sistemnya kita dapat guna pakai di Sarawak, kita akan buat secara berperingkat,” jelas beliau.

 

Abang Johari mendengar taklimat ringkas daripada pegawai APM mengenai statistik mangsa banjir di PPS Batu Kawa. Foto: Ahmad Nasrullah (TVS).

Dalam perkembangan lain, berhubung PPS Batu Kawa, secara keseluruhan Abang Johari berpuas hati terhadap pengoperasiannya.

“Saya sangat berpuas hati, makanan cukup dan tempat mereka selamat. Itu yang penting,” katanya.

Abang Johari turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan amaran hujan berterusan sehingga 15 Mac ini, serta bertindak pantas sekiranya berlaku kecemasan seperti menghubungi agensi-agensi penyelamat atau ketua-ketua masyarakat bagi mengelak sebarang musibah. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.