Parlimen: 20 klinik kesihatan ‘usang’ di Baram perlu dibaiki segera

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Kerajaan Persekutuan diminta mengambil tindakan segera untuk membaik pulih klinik kesihatan ‘usang’ di Baram, Sarawak.

Ahli Parlimennya, Dato Anyi Ngau berkata, di kawasan itu terdapat lebih 20 buah klinik kesihatan namun majoritinya berada dalam keadaan uzur sekali gus dibimbangi tidak dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada penduduk sekitar.

Katanya, ada klinik yang bumbungnya bocor namun tidak dibaiki malah terdapat fasiliti kesihatan yang tidak dilengkapkan dengan kemudahan elektrik.

“Kita tahu klinik kesihatan telah memainkan peranan besar sewaktu pandemik COVID-19 apabila menjadi pusat pemberian vaksin kepada penduduk namun kemudahan asasnya perlu dijaga,” katanya pada sidang Parlimen di sini hari ini.

Bario yang terletak dalam Parlimen Baram turut memerlukan kemudahan kesihatan yang baik untuk manfaat penduduk. Foto TVS.

Sementara itu beliau turut memberitahu Klinik Kesihatan (KK) Long Lama pula berdepan masalah tanah runtuh sejak dua tahun lepas namun sehingga kini belum dibaiki.

“Penduduk tertanya – tanya mengapa tidak ada usaha untuk selesaikan masalah ini.

“Saya menaruh keyakinan agar Kerajaan Perpaduan dapat menyelesaikan masalah klinik – klinik kesihatan yang usang ini,” katanya pada Sidang Parlimen di sini hari ini.

Anyi berkata, antara punca fasiliti kesihatan di situ usang ialah kerana sudah lama dibina iaitu melebihi 30 tahun.

“Ini melibatkan KK Long San, KK Long Bemang, KK Bario, KK Long Tran dan KK Long Bengak,” katanya.

Sementara itu beliau turut berharap agar capaian internet di sana dapat dipertingkatkan supaya penduduk dapat menggunakan perkhidmatan digital. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.