Pesta Kaul Mukah 2023 diadakan mulai 26 April hingga 1 Mei, platform tarik pelancong

Spread the love

MUKAH, 26 Feb: Pesta Kaul Mukah 2023 akan diadakan mulai 26 April hingga 1 Mei depan di Tapak Kala Dana Mukah manakala Kaul Serahang Kakan diadakan pada 11 Mac ini bertemakan ‘Tiada Seuniknya’.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, Kaul boleh menjadi salah satu tarikan pelancong dari serata dunia serta menjadi platform bagi peniaga-peniaga kecil dalam memperkenalkan produk tempatan mereka kepada semua.

“Harapan saya agar program dan acara sebegini dapat memberi manfaat dan faedah kepada semua komuniti kampung. Kaul telah dianggap sebagai medan penyatuan komuniti terbesar kaum Melanau dan merupakan acara yang cukup unik dalam memahami adat budaya terutama bagi suku etnik Melanau di Mukah,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kaul Petanak yang diadakan di Pantai Petanak di sini, hari ini.

 

Dato Hanifah Hajar Taib hadir sama meraikan Pesta Kaul Petanak yang diadakan hari ini bersama-sama penduduk kampung. Foto: Pusat Khidmat Parlimen Mukah

Beliau berkata, pelbagai langkah dilakukan untuk mengekalkan budaya Melanau dan salah satu daripadanya adalah untuk mengekalkan Kaul di peringkat kampung.

“Ini bertujuan memberi peluang kepada generasi muda untuk turut sama menyertai acara yang penuh tradisi ini. Kita berharap dengan usaha yang dilakukan pelbagai pihak pada hari ini dapat dimanfaatkan oleh orang ramai supaya sejarah masyarakat kaum Melanau ini tidak dilupakan,” katanya.

 

Pesta Kaul boleh menjadi salah satu tarikan kepada pelancong ke Mukah. Foto: Pusat Khidmat Parlimen Mukah

Menurut kepercayaan masyarakat Melanau, Kaul Petanak ini merupakan antara upacara keramaian peringkat Kampung Petanak di Mukah yang diadakan setiap tahun bertujuan memastikan keberkatan dari “Ipok” iaitu makhluk alam yang menjaga bumi dengan sesi menjamu selera makanan di pantai diadakan.

Pengerusi Persatuan Melanau Mukah (PMM), Abdul Yakub Arbi yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian telah menyatakan Pesta Kaul Mukah 2023 bakal berlangsung dari 26 April hingga 1 Mei depan dan Kaul Serahang Kakan pula akan diadakan pada 11 Mac. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.