KUCHING, 25 Feb: Sarawak terbuka sekiranya Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) diadakan sekali lagi di sini, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, cadangan penganjuran festival bersprestij akan dipertimbangkan jika deligasi AIFFA datang menemui beliau berhubung perkara berkenaan.
“Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang cadangan dari pihak pengurusan acara berkenaan AIFFA.”
“Tetapi jika mereka datang kita di kementerian akan membuat pertimbangan sama ada ia diadakan tahun ini atau tahun depan,” katanya pada satu sidang media selepas Majlis Perasmian Program Sape Junior dan Malam Apresiasi RTM Sarawakku Sayang, di sini, pada Jumaat.
Namun begitu kata Abdul Karim penganjuran AIFFA di negeri ini tertakluk kepada piawaian tertentu susulan mengambil kira industri perfileman turut terkesan akibat penularan wabak COVID-19 sebelum ini.
“Jadi tidak banyak filem atau dokumentari yang dihasilkan ketika itu.
“Kita akan lihat jika ada pencalonan ia juga mestilah mengikut standard tertentu,” ujarnya.
Kali terakhir AIFFA diadakan pada tahun 2019 dengan menyaksikan edisi keempat penganjurannya menampilkan bintang aksi hollywood Steven Seagal sebagai artis jemputan bersama selebriti tempatan lain seperti Datuk Sheila Majid dan bekas pengacara Asia’s Got Talent, Marc Nelson dan Rovilson Fernandez.
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.