Dana Mudahcara industri seni Sarawak wajar diteruskan – Abdul Karim

Spread the love

KOTA SAMARAHAN, 25 Feb: Dana Mudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak yang diperkenalkan pada April tahun lalu sedang dalam pertimbangan untuk diteruskan pada tahun ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau akan membawa cadangan itu untuk dibincangkan bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya akan pastikan dana ini diteruskan. Saya belum lagi mengutarakan hal ini kepada Premier namun saya yakin ia tidak akan dihentikan separuh jalan kerana Premier sendiri yang mengumumkan Dana Mudahcara ini pada tahun lalu. Ia perlu disambung untuk 2023 dan juga seterusnya,” kata Abdul Karim dalam ucapannya pada sesi Townhall untuk Industri Kreatifdi di La Promenade di sini, hari ini.

Katanya lagi, peningkatan jumlah dana yang diperkenalkan turut dipertimbangkan sama ada mengambil dari bajet kementerian sendiri ataupun tambahan jumlah baharu tanpa mengganggu bajet kementerian.

“Saya sangat yakin, dana awal yang diberi untuk 2022 adalah RM10 juta dan itu diperuntukan hanya pada tahun tersebut, tetapi saya percaya ia tidak seharusnya hanya dihadkan pada 2022. Tahun 2023, 2024 juga mesti mempunyai dana sendiri.

“Kementerian juga sebenarnya ada diberikan bajet yang besar untuk menganjurkan acara-acara. Jadi, mungkin sedikit jumlah akan diambil dari bajet ini untuk ditambah ke dalam dana tersebut atau kita tidak ganggu bajet namun peruntukan yang baharu disuntik ke dalam Dana Mudahcara ini. Saya akan berbincang dengan Premier mengenai perkara ini kerana saya dapat melihat dari townhall tadi, kita ada ramai penggiat seni yang begitu bersemangat untuk meneruskan matlamat mereka,” ujarnya lagi.

Dalam majlis yang sama, beliau memberitahu kementerian telah menyokong 80 aktiviti berkaitan seni, budaya dan warisan pada 2022.

Jelasnya, Dana Mudahcara merupakan pembiayaan sekali sahaja untuk tahun 2022 untuk merangsang pemulihan sektor warisan, seni dan budaya Sarawak semasa wabak COVID-19, jumlah geran yang diberikan ialah RM4.65 juta. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.