Mayat lelaki lemas selepas terjun Jambatan Igan ditemukan

Spread the love

SIBU, 22 Feb: Mayat seorang lelaki yang lemas selepas dilaporkan terjun dari Jambatan Sungai Batang Igan di sini, ditemukan pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah,Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Abdul Mutalif Ja’afar berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Kong Sien Chei,50, ditemukan dalam jarak dua kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) kira-kira jam 11.44 pagi.

Menurutnya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah menjalankan operasi pencarian susulan makluman awam yang menyatakan mangsa dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari jambatan itu sekitar jam 5.15 petang Isnin.

“Operasi SAR hari ke-3 dijalankan dengan menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’ pada jarak 10 kilometer ke hulu Sungai Batang Igan , memasuki Sungai Batang Rejang serta pencarian ke hilir sungai Batang Igan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan sempurna berpakaian baju warna merah dan berseluar panjang gelap.

“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, dengan penemuan mayat mangsa operasi SAR ditamatkan pada jam 12 tengah hari,” ujarnya.

Seramai lima anggota bomba dari BBP Sungai Merah yang turut dibantu oleh tujuh anggota polis dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menggunakan tiga bot dalam misi pencarian mangsa tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat tersebut.

Tambah beliau, kes orang hilang tersebut telah diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR). -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.