SAR Bujang diperluaskan 3 km daripada lokasi hilang

Spread the love

SEMATAN, 16 Feb: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Rayyan Bujang Abdul Qayyum yang dikhuatiri hilang di Kuari Batu Perigi, Jalan Kampung Perigi, Sematan diperluaskan dengan radius tiga kilometer (km) hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, tujuh anggota pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu melakukan SAR di sekitar kawasan ladang kelapa sawit pada hari kedua kehilangan kanak-kanak berusia dua tahun itu.

“Pencarian mangsa diperluaskan dan pasukan penyelamat dibahagikan kepada dua, dengan kaedah ‘base line method’ dalam radius tiga kilometer (km) dari lokasi mangsa dikatakan hilang,” katanya.

Laporan PGO juga mendedahkan operasi terbabit turut melibatkan seramai lima anggota masing-masing dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga empat orang awam.

“Kali terakhir mangsa dilihat sedang bermain di luar kawasan pondok belakang rumah kongsi kuari.

“Setelah menyedari mangsa tiada bersebelahan, ibu mangsa berusaha memanggil serta bergegas mencari mangsa dengan bantuan suaminya dan beberapa pekerja sekitar, namun usaha tersebut gagal,” jelas laporan PGO.

Semalam, kanak-kanak yang mesra dipanggil ‘Bujang’ itu dilaporkan hilang setelah disedari ibunya ketika sedang menunggu suaminya (bapa mangsa) pulang dari kerja di pondok kuari berkenaan.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.