Abang Johari kongsi tentang bandar pintar pada Asean Education Cities Conference minggu depan

Spread the love

KUCHING, 7 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah dijemput untuk berbicara mengenai bandar pintar pada Asean Education Cities Conference (AECC) 2023 di Kuala Lumpur, 11 Februari ini.

Beliau berkata, beliau berbesar hati menerima undangan daripada Sunway University sebagai penceramah yang membolehkannya berkongsi tentang perancangan dan pelaksanaan kerajaan Sarawak mengenai bandar pintar.

“Sebelum ini saya pernah menyampaikan ceramah di Rotterdam (World Hydrogen Forum) di Netherland, seterusnya di 15th Singapore International Energy Week (SIEW) di Singapura, diikuti (Time To Act: Hydrogen Forum 2022) di Jepun.

“Bermakna, anak Sarawak sudah diketahui ramai bahawa semuanya pintar-pintar,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian di sini pada malam Isnin.

Jelasnya lagi, kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut mengakui idea pembangunan di Sarawak sebagai pembangunan bandar yang sangat terancang.

Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM200,000 kepada Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Majlis turut dihadiri oleh dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta Presiden Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Kuching, Samarahan dan Serian Dato Richard Wee Ling Chiat. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.