SIBU, 2 Feb: Orang ramai di sini dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan melalui media sosial berikutan wujudnya sindiket penipuan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, sindiket berkenaan dikesan menggunakan modus operandi menawarkan komisen tinggi untuk membuat tugasan yang diberikan sekali gus menjerat mangsa sehingga kerugian ribuan ringgit.
Dalam kes terbaharu katanya, seorang lelaki berusia 50-an di bandar ini menjadi mangsa penipuan tawaran kerja bidaan gambar lukisan pasu bunga menerusi media sosial sehingga kerugian RM12,997.
Katanya, mangsa telah berurusan dengan seorang wanita melalui aplikasi WeChat pada 27 Januari kerana tertarik dengan tawaran komisen antara satu sehingga 15 dolar Amerika Syarikat (USD) bagi satu unit barangan.
“Pada 25 sehingga 29 Januari lalu, mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran sebanyak RM2,997 ke atas tiga akaun bank dan setiap kali pembayaran, mangsa diyakinkan akan menerima pulangan yang tinggi.
“Namun sehingga laporan dibuat, mangsa tidak menerima sebarang pulangan,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
Katanya, kesemua wang berkenaan merupakan hasil simpanan mangsa.
“Mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada 30 Januari lalu.
Zulikifli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.