KUCHING, 2 Feb: Hubungan baik antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan mendorong pulangan positif kepada pendapatan negeri ini.
Pendapat Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi itu berhubung kejayaan Sarawak mencatatkan prestasi tertinggi yang pernah direkodkan iaitu berjumlah RM11.9 bilion bagi tahun 2022.
“Jika kita lihat disebabkan hubungan yang baik ini,cukai jualan negeri (SST) telah memberikan sumber pendapatan yang tinggi saya kira ia lebih dari RM5 bilion.”
“Cukai jualan SST telah menyumbangkan sekitar 84 peratus ataupun RM5.6 bilion cukai hasil yang dikutip, ini termasuk produk cukai minyak dan gas, kelapa sawit dan aluminium,” katanya ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Tambah Awang Azman, peningkatan hasil Sarawak ini juga dibantu oleh harga pasaran yang tinggi pada tahun lepas, iaitu melibatkan produk minyak, gas dan kelapa sawit.
Dalam pada itu, Awang Azman menjangkakan hasil sarawak akan bertambah lebih baik pada tahun ini, berdasarkan tumpuan yang diberikan dari sudut ekonomi.
“Jika kita imbangkan situasi yang positif dan negatif , saya kira Sarawak mampu mengekalkan prestasi yang cemerlang pada tahun ini,” ujarnya lagi. -TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.