KUCHING, 2 Feb: Kerajaan Sarawak akan meneruskan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) melibatkan diskaun bil elektrik sebanyak lima hingga 25 peratus untuk pengguna domestik, komersial dan industri bagi enam bulan pertama tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu diambil bagi membantu rakyat dan komuniti perniagaan untuk mengharungi cabaran ekonomi pasca COVID-19.
Kata Abang Johari, inisiatif berkenaan melibatkan kos sebanyak RM200 juta.
“Inisiatif ini juga bertujuan untuk mengurangkan kenaikan kos sara hidup serta kos menjalankan perniagaan,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Yang turut hadir, tiga Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Abang Johari berkata, keputusan meneruskan BKKS untuk elektrik juga merupakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha memulihkan sosioekonomi dan demi kesejahteraan rakyat seperti pakej-pakej BKSS sebelum ini.
“Kerajaan Sarawak yang ditadbir oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga akan sentiasa berusaha memastikan semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej BKSS memberi manfaat kepada golongan sasar,” kata beliau. -TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.