CYBERJAYA, 2 Feb: Orang ramai diminta untuk berwaspada dengan panggilan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Tribunal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC.)
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang tribunal yang dinamakan serta beroperasi sebagai Tribunal MCMC, dan juga tidak mempunyai kakitangan seperti yang didakwa.
Kenytaan juga menegaskan sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan MCMC lazimnya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang MCMC ataupun menerusi platform media sosial MCMC.
“Bukan melalui nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan,” menurut kenyataan.
Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali.
MCMC turut mengingatkan orang ramai sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan diminta segera melaporkan perkara tersebut kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 ataupun kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan.-TVS
Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.