Sarawak perlu kepakaran Singapura dalam sektor pertanian dan tenaga diperbaharui – Rundi

Spread the love

BINTULU, 29 Jan: Kepakaran Singapura diperlukan dalam membantu Sarawak dalam memajukan sektor pertanian dan tenaga boleh diperbaharui dalam usaha melonjakkan pendapatan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pelbagai aspek telah dibincangkan antara Kerajaan Sarawak dan Singapura bagi menerokai dan memperkasa dua sektor itu secara bersama.

“Kelebihan Sarawak ialah kita mempunyai tanah yang luas dan sumber tenaga semula jadi tetapi kekurangan tenaga pakar.

“Kita lihat Singapura mempunyai ramai tenaga pakar, oleh itu, kita manfaatkan hubungan dan kerjasama baik dengan menggunakan kepakaran mereka untuk membantu kita,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak turut menjadikan Singapura sebagai platform untuk mengeksport produk dari wilayah ini ke pasaran global.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Sarawak akan terus mengekalkan hubungan baik dan kerjasama strategik dengan Singapura kerana ia memberi impak yang positif kepada wilayah ini dari segi peningkatan aliran pendapatan.

“Manfaatnya dari segi peningkatan pendapatan. Sekarang kedudukan kewangan kita sangat membanggakan,” ujarnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.