Suspek samun bersenjata kedai kopi di Stutong diberkas

Spread the love

KUCHING, 26 Jan: Polis berjaya menangkap seorang suspek kes samun bersenjata di sebuah kedai makan di Jalan Stutong sehari selepas kejadian berlaku.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, sejurus menerima laporan kes, pasukan khas dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching dan Kontinjen Sarawak digerakkan untuk mengesan suspek.

“Hasil kebijaksanaan pasukan (Polis), kita berjaya menangkap suspek iaitu lelaki tempatan berumur 36 tahun pada jam 9.30 malam, semalam (25 Jan).”

“Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai kes jenayah lampau termasuk kes-kes berkaitan dadah dan kecurian harta benda,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di sini, hari ini.

Jelas Ahsmon lagi, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan akan diteruskan.

“Kita juga akan meneruskan siasatan terperinci terhadap suspek yang terlibat dalam kes ini, termasuk penglibatan suspek dalam kes-kes lain,” tegasnya.

Pada Rabu, tular satu rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dua orang suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kelisa berwarna putih, bersenjatakan parang menyamun kedai makan di Jalan Stutong.

Dalam kejadian 4.55 pagi itu, suspek juga dilihat bertindak agresif ke arah pekerja di kedai makan berkenaan namun mangsa kelihatan mengangkat tangan sebagai isyarat ‘menyerah diri’.

Difahamkan kedai makan terbabit mengalami kerugian sekitar RM2,000 dan rakaman turut memperlihatkan suspek turut menyamun salah seorang pelanggan.

Pihak polis seterusnya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika sabit kesalahan.

Suspek kini direman selama enam hari bagi tujuan siasatan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.