Sarawak terus giat jalin kerjasama dengan negara serantau – Abang Johari

Spread the love

MIRI, 26 Jan: Sarawak terus giat mengukuhkan kerjasama dengan negara serantau khususnya negara-negara jiran dalam pelbagai bidang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerjasama yang baik dengan Brunei menjadi penanda aras kemampuan Sarawak bekerjasama dengan pelbagai negara.

“Memang kita mempunyai hubungan yang khas dengan Brunei serta beberapa perkara juga telah diputuskan antara dua negara seperti isu penerbangan yang telah dipersetujui kedua-dua negara.

“Selepas ini terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau mahukan penyertaan Sarawak dalam sebarang lawatan ke luar negara bagi membincangkan sesuatu isu dengan negara serantau,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya, semasa lawatan Perdana Menteri ke Indonesia baru-baru ini, Presiden Indonesia Jokowi telah menyuarakan hasrat untuk membangunkan empangan hidroelektrik di Kalimantan Timur bersama dengan Sarawak Energy.

“Oleh sebab itu, Perdana Menteri memerlukan pandangan Sarawak,” katanya.

Tambahnya, negara lain yang turut menjalinkan hubungan dua hala dengan Sarawak ialah Singapura iaitu dalam bidang perdagangan karbon.

“Nanti kita akan lihat adakah Perdana Menteri mahukan penyertaan Sarawak dalam lawatannya ke Singapura kelak,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.