Polis sedang siasat kes salah guna gambar TPM dalam poster pelaburan

Spread the love

KUCHING, 26 Jan: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes penyalahgunaan gambar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang dijadikan sebagai poster iklan skim Pelaburan Patuh Syariah di media sosial.

Tegas Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap perbuatan tidak bermoral pihak yang tidak bertanggungjawab terbabit.

“Ia (tindakan) tidak bermoral kerana (gambar pemimpin) digunakan untuk tujuan peribadi.”

“Kita akan pastikan tindakan sewajarnya dikenakan kepada individu terlibat. Setakat ini kita masih lagi dalam peringkat siasatan dan kita percaya perkara ini dapat diperhalusi.”

“Kalau mahu guna gambar seseorang kita haruslah melalui saluran serta undang-undang yang betul,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, di sini, hari ini.

Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat pada 15 Januari, berhubung penggunaan gambar Fadillah yang juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya bagi menarik minat orang ramai untuk menyertai skim pelaburan itu.

Poster pelaburan yang menyalahgunakan gambar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof disebarkan di media sosial.

Sementara itu, menurut Fadillah beliau tidak pernah terlibat dalam pelaburan seperti diiklankan dan mendakwa gambar beliau telah digunakan buat kali kedua dalam poster yang sama tahun lepas.

“Merujuk kepada penyebaran poster Pelaburan Patuh Syariah yang menggunapakai gambar saya dan dikongsikan di media sosial, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak terlibat dengan pelaburan berkenaan dan saya tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambar saya,” ujarnya menerusi satu laporan media sebelum ini.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.