Abang Johari umum lebih RM200 juta untuk projek pendalaman saluran akses delta Batang Baram

Spread the love

MIRI, 26 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan lebih RM200 juta untuk projek pendalaman saluran akses delta Batang Baram.

Menurutnya, projek mendalamkan akses berkenaan sememangnya telah lama dinantikan oleh penduduk di Miri.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Lembaga Pelabuhan Miri dan kita akan memperuntukkan lebih RM200 juta untuk saluran akses di Baram.

“Apabila siap nanti, ini akan memberi manfaat kepada penduduk di Miri kerana ia meningkatkan kadar aliran air ke laut dan mampu mengurangkan kekerapan banjir di Baram,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini pada Rabu malam.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata lagi, kedudukan kewangan Sarawak yang kukuh telah menjadi pemangkin dalam melaksanakan pelbagai projek untuk kepentingan rakyat meskipun memerlukan kos yang besar.

Sementara itu, Abang Johari turut memaklumkan usaha mentransformasikan bandar raya Miri sebagai bandar pintar sedang giat dilaksanakan.

Antara inisiatif itu ialah menyediakan perkhidmatan digital kepada penduduk Miri serta pelancong.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Dato Sri Dr Sim Kui HIan, Dato Sri Lee Kim Shin dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menggaul ‘Yee Sang’ pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Miri. Foto: JaPen.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berterima kasih kepada Premier Sarawak kerana meluluskan projek pendalaman akses delta Batang Baram.

“Apabila projek itu siap, ia akan membantu merancakkan aktiviti industri di Kuala Baram serta menyokong pertumbuhan industri kecil dan sederhana,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.