Sarawak berpotensi jadi lembah makanan kepada Brunei

Spread the love

KUCHING, 25 Jan: Sarawak berpotensi besar untuk menjadi destinasi pelaburan bagi industri makanan kepada negara-negara serantau terutamanya Brunei.

Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, potensi berkenaan wajar dilihat oleh Brunei dengan mengambil kira faktor seperti hasil bumi dan kos pengangkutan.

“Kalau lihat dalam sektor pertanian, Sarawak mempunyai kawasan yang luas yang boleh dijadikan sebagai lembah makanan.

“Ini menjadi satu potensi yang baik bagi Brunei memanfaatkan pelaburannya di Sarawak dalam sektor industri makanan. Brunei juga tidak jauh lokasinya dari Sarawak dan ini menjimatkan kos pengangkutan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kerjasama membabitkan pelaburan yang bakal dirintis oleh Sarawak dengan Brunei susulan lawatan rasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke negara berkenaan.

Penganalisis Sosiopolitik, Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berpandangan bahawa ia tidak mustahil PRU15 diawalkan kerana situasi ini juga bukan sesuatu yang baharu. Foto: TVS
PProfesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi. Foto: TVS

Menjelaskan lebih lanjut berhubung pelaburan dalam sektor penghasilan makanan di Sarawak, Awang Azman berkata, negara jiran itu boleh menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

“Ini termasuk akan membantu isu keselamatan dan keterjaminan makanan penduduk Brunei,” katanya.

Jelas beliau dalam soal keselamatan makanan, langkah yang dilakukan oleh Singapura wajar dicontohi.

“Singapura menjalankan pelaburan industri makanan yang dinamik di beberapa tempat termasuk di Sumatera, Indonesia meskipun jaraknya agak jauh,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu, Sarawak juga akan memperoleh keuntungan daripada pelaburan berkenaan apabila dapat memajukan dan membangunkan kawasan-kawasannya yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ini.

“Menerusi pelaburan berkenaan kelak, Sarawak juga akan dapat membekalkan sumber makanan kepada rakyatnya sendiri sekali gus dapat membendung isu keselamatan makanan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.