Sarawak beri sumbangan penting kejayaan hubungan Malaysia dengan Brunei – Abang Johari

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN (BRUNEI), 25 Jan: Pelbagai kejayaan yang dicapai dalam kerjasama Malaysia dan Brunei turut disumbangkan oleh peranan yang dimainkan Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, beliau yang juga Premier Sarawak berkata, pelbagai usaha akan dilaksanakan untuk mengukuhkan lagi kerjasama berkenaan dan perkara ini akan dapat direalisasikan berdasarkan keupayaan yang telah dipamerkan oleh Sarawak.

Kata Abang Johari, beliau juga telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hasrat untuk menubuhkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Brunei.

“Ini seterusnya akan meningkatkan ekonomi, sudut pertumbuhan sosial membabitkan Sarawak, Brunei dan Malaysia. Sudah tentu ini akan merapatkan perhubungan yang baik antara kedua negara,” katanya kepada TVS.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Perdana Menteri bersama diaspora Malaysia di Brunei di sini malam tadi.

Abang Johari kini berada di negara ini bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak dan Brunei telah lama mengukuhkan kerjasama pelbagai bidang yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

“Kita (Sarawak-Brunei) memang sudah mempunyai hubungan yang baik lebih-lebih lagi dengan adanya Jawatankuasa Bersama Brunei-Sarawak di mana Sarawak diwakili Timbalan Premier Sarawak manakala Brunei diwakili oleh seorang menteri.

“Jawatankuasa ini bertindak menyelesaikan sebarang isu dan memperkukuhkan kesepakatan di antara Sarawak dan Brunei,” kata beliau. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.