Mang, rezeki dari lumpur penduduk Pulau Bruit

Spread the love

MUKAH, 25 Jan: Kehadiran penduduk memburu mang di Kampung Penuai Pulau Bruit pada awal pagi tadi menjadikan lokasi itu meriah seakan-akan suasana di pesta keramaian.

Mang atau nguang menjadi buruan penduduk di sini setiap kali tengkujuh kerana lazimnya haiwan yang hidup dalam tanah berlumpur berkenaan sukar diperoleh pada musim kemarau.

Penduduk, Abdul Ghani Riji, 41, berkata mereka biasanya tertumpu di kawasan paya untuk mendapatkan hidupan berkenaan.

“Kami selalu mencari mang di kawasan tanah paya yang terletak tidak jauh dari kampung ini. Kami hanya berjalan kaki atau menaiki motosikal ke sana. Mang ini senang diperoleh apabila berlakunya hujan lebat dan jika tanah kering ia sukar diburu”.

“Jika kami bernasib baik, kami memperolehi banyak mang sampai berguni-guni. Selepas itu, kami jual dan makan bersama keluarga di rumah,” katanya ketika dihubungi TVS pada hari ini.

Menurut beliau, mang akan dijual pada harga RM10 sekilogram sekali gus menjadi sumber pendapatan sampingan kepada nelayan yang kebanyakannya tidak dapat turun ke laut.

Bagaimanapun katanya, bekalan mang lazimnya tidak mencukupi ekoran permintaan yang amat tinggi di pasaran.

“Biasanya, tidak susah untuk mencari mang kerana ia selalu timbul di atas air. Hanya mang yang besar sahaja diambil, yang kecil kami biarkan hidup. Kalau di kawasan Mukah, Mang banyak di kawasan pantai di Kuala Matu dan Pulau Bruit”.

“Rasa mang ini seperti rasa ketam dan udang sedikit. Cara masakannya pula, ia sedap digoreng dan dimakan bersama kicap tetapi ada orang yang suka ia direbus. Terpulang kepada citarasa masing-masing,” katanya lagi.

Selain mang, hidupan eksotik ini juga dikenali udang ketok atau udang tanah dalam kalangan masyarakat Semenanjung Malaysia manakala di Sabah pula, bengkela atau ngaong. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.