Malaysia dan Brunei kukuhkan kerjasama, kekalkan hubungan istimewa – Anwar

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan: Malaysia dan Brunei terus mengukuhkan kerjasama dan mengekalkan hubungan istimewa yang telah terjalin sejak 1984.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua negara telah menjalin kerjasama di dalam pelbagai bidang dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan hubungan istimewa yang ditunjangi oleh rumpun Melayu dan agama Islam.

“Meskipun secara rasminya hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei Darussalam terjalin pada tahun 1984, namun jika disoroti sejarah Kesultanan Melayu, hubungan kedua-dua negara telah terjalin sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, sempena lawatan rasmi dua harinya ke Brunei, hari ini.

Menurutnya, hubungan kedua-dua negara sentiasa kekal dalam keadaan harmoni. Hal ini jelas terbukti apabila Sultan Brunei menjadi pemimpin dunia pertama yang mengunjungi Anwar sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Anwar menyifatkan kunjungan pada 28 November lalu membawa makna yang begitu besar bagi dirinya dan seluruh rakyat Malaysia kerana ia mencerminkan keakraban ikatan dua negara.

Selain itu, beliau gembira melihat persefahaman dan kerjasama erat yang terjalin untuk sekian lama dan ini telah membawa manfaat yang begitu besar, termasuklah semasa dunia dilanda COVID-19. 

“Patik amat yakin kesepakatan ini akan menjadi perisai dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia pada hari ini serta menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan pasca COVID-19,” ujarnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.