Kuching City FC jelajah Sarawak, cari bakat muda mantapkan pasukan

Spread the love

MUKAH, 25 Jan: Skuad Kuching City FC mengadakan jelajah pra musim menentang pasukan dari Zon Tengah Sarawak iaitu Sibu Nangka United, Mukah FA dan Betong FA sebagai persediaan awal menghadapi saingan Liga Super 2023.

Jurulatihnya Irfan Bakti Abu Salim berkata, perlawanan persahabatan itu sebagai aksi pemanas badan pasukan, selain mengambil peluang untuk mencungkil bakat muda baharu tempatan dalam melengkapkan kuota anak jati Sarawak untuk diserap dalam pasukan tersebut.

“Pasukan Kuching City FC bukan hanya untuk pemain  Bahagian Kuching sahaja, tetapi kami mewakili Sarawak. menerusi jelajah ini kami juga mencari bakat-bakat muda di Sarawak untuk dipilih menyertai skuad Kuching City FC,” katanya selepas perlawanan persahabatan Kuching City FC bertemu Mukah FA di sini, semalam.

Hadir sama meluangkan masa menyaksikan perlawanan tersebut ialah  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, ADUN Balingian Yakub Arbi serta wakil Ahli Parlimen Mukah, Almal Norshidi.

Irfan yang berpengalaman luas sebagai jurulatih dalam kancah bola sepak negara mahukan peminat bola sepak di Sarawak terus menyokong Kuching City FC kerana tanpa penyokong Kuching City FC tidak mampu mencapai kejayaan seperti yang dilakar ketika ini.

Kuching City FC seterusnya dijadual akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Betong FA pada 26 Januari ini di Kompleks Sukan Betong dan akan mengakhiri jelajah pra musim di Sibu pada 28 Januari menentang pasukan Nangka United di Stadium Azman Hashim, Sibujaya.

Musim lepas Kuching City FC menamatkan cabaran Liga Premier 2022 di kedudukan ketiga dengan penyerang sensasi pasukan itu, Abu Kamarad inobatkan sebagai penjaring terbanyak liga dengan 11 gol. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.