Kerajaan rangka strategi tangani kos sara hidup

Spread the love

PUTRAJAYA, 25 Jan: Kerajaan sedang merangka strategi baharu untuk menangani isu kos sara hidup antaranya mewujudkan rantaian bekalan makanan dalam negara dengan menggalakkan aktiviti pertanian bahan mentah yang boleh menggantikan sumber import seperti cili, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kewangan serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, antara agensi kerajaan yang sedang merangka strategi itu sebagai ‘quick win solution’ kepada isu kos sara hidup.

“Langkah untuk jangka panjang juga sedang diteliti bagi membolehkan jaminan bekalan makanan untuk memenuhi permintaan dan seterusnya membantu mengawal kenaikan harga,” katanya pada sidang media sempena penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Disember 2022, di sini hari ini.

Katanya kerajaan akan turut melibatkan golongan miskin tegar dan miskin untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan makanan iaitu sebagai pengusaha atau penanam bahan mentah.

“Kita mahu memastikan seberapa banyak mungkin hasil bekalan berkaitan makanan itu diusahakan oleh masyarakat setempat.

“Contohnya cili yang boleh ditanam tanpa masalah di sini tetapi dari segi pelaksanaannya, kita mahu memastikan bahawa kita bukan sahaja membantu orang menanam cili tetapi kita perlu memastikan penjualan cili itu sudah ada pasaran yang menerimanya,” katanya.

Rafizi berkata kerajaan juga akan bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk mengembangkan projek melibatkan nilai rantaian makanan yang sedang mereka usahakan.

“Mereka boleh mengembangkannya lagi dan mengenal pasti tanaman baharu untuk dipadankan dengan tanah, penerima, pengusaha dan pembeli,” katanya.

Katanya kementeriannya juga telah berbincang dengan beberapa GLC dan sedang menunggu mereka kembali dengan beberapa cadangan dan kajian kebolehlaksanaan berkaitan pelaburan berimpak tinggi dalam sektor makanan.

“Masalah selalunya pelaburan di hujung huluan rantaian nilai yang mahal kerana ia memerlukan teknologi, kepakaran dan pelaburan yang besar yang di luar kemampuan pengusaha pertanian biasa.

“Oleh itu, sebahagian daripada tugas ini, kita meminta GLC mempertimbangkannya,” katanya.

Rafizi berkata apabila masalah melibatkan rantaian bekalan makanan dapat diselesaikan, kerajaan berharap ia dapat diterjemahkan kepada harga akhir yang dibayar pengguna.

“Dalam menyelesaikan masalah dari segi bekalan rantaian makanan, kita juga memerlukan orang ramai dan ekonomi memberi tindak balas apabila harga barang tertentu itu turun, tindak balas itu boleh disambut oleh peniaga untuk turut melambangkan penurunan harga yang sepatutnya.

“Jika tidak, kita kembali kepada yang selalu orang ramai mempersoalkan mengenai harga barang, apabila ia naik sekali, ia tak turun,” katanya.

Rafizi turut menyarankan pengguna untuk merujuk kepada platform OpenDOSM NextGen yang turut mengandungi 28 juta data harga barangan di pelbagai lokasi di seluruh negara daripada aplikasi PriceCatcher yang dibangunkan oleh KPDN.

“Data PriceCatcher yang diterbitkan merupakan data terkini dengan selang waktu satu hari. Kerajaan berharap penerbitan data ini dapat membantu pengguna membuat pilihan yang lebih tepat dan seterusnya menjadikan permintaan lebih anjal di samping mengawal kenaikan harga,” katanya


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.