Kedai kopi musnah, seorang wanita melecur di lengan

Spread the love

SIBU, 25 Jan: Nasib tidak menyebelahi seorang lelaki apabila premis kedai kopi miliknya musnah dalam kebakaran pada hari ketiga sambutan Tahun Baharu Cina di sini.

Lebih tragis, kebakaran pada awal pagi Rabu itu turut mengakibatkan salah seorang penyewa gerai dipremisnya iaitu wanita berusia 24 tahun cedera dengan melecur kira-kira 10 peratus di bahagian lengan kiri dan kanan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan 1, Janggan Muling berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikerahkan ke lokasi sebaik menerima maklumat kejadian pada jam 5.25 pagi.

“Setiba di tempat kejadian kira-kira tujuh kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral, komander operasi melaporkan api sedang marak di bahagian bawah premis kedai kopi jenis kekal tersebut”.

“Kerja-kerja pemadaman dijalankan secara ‘offensive’ dan ‘defensive’ dengan membentang satu aliran bantu mula bagi menggelakkan api merebak ke unit kedai yang lain,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Katanya, Bomba mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk mengawal kebakaran pada jam 6.06 pagi.

Janggan memberitahu kedai makan jenis dua tingkat tersebut telah terbakar di bahagian bawah berkeluasan 20 kali 40 kaki persegi telah terbakar hampir 100 peratus.

“Seorang wanita yang melecur di bahagian lengan kiri dan dan kanan telah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami pemilik kedai berusia 38 tahun masih dalam siasatan.

Agensi lain yang turut terlibat menghulurkan bantuan termasuk enam anggota Polis dan lima petugas Sarawak Energy. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.