Chris Hipkins angkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand

Spread the love

WELLINGTON, 25 Jan: Chris Hipkins mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu New Zealand pada Rabu selepas Jacinda Ardern secara rasmi meletak jawatan.

Majlis angkat sumpah yang berlangsung di bangunan parlimen itu menyaksikan Hipkins secara rasmi menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan itu manakala Carmel Sepuloni menjadi Timbalan Perdana Menteri, lapor Xinhua.

Perdana Menteri Hipkins akan merombak kabinet minggu depan. Selain menjadi kepimpinan tertinggi, Hipkins sendiri akan memegang jawatan menteri keselamatan dan perisikan negara.

Menangani inflasi akan menjadi keutamaan, katanya ketika badan statistik New Zealand mengumumkan pertumbuhan indeks harga pengguna kekal pada 7.2 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Disember 2022.

Ardern yang mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis lepas berkata selepas lima setengah tahun memegang jawatan kepimpinan tertinggi, beliau tidak dapat meneruskannya untuk tempoh setahun lagi atau sepenggal lagi selepas pertimbangan yang teliti.

“Menjadi Perdana Menteri merupakan penghormatan terbesar dalam hidup saya,” kata Ardern, memetik pencapaian kabinetnya dalam mengurangkan kemiskinan kanak-kanak dan meningkatkan sokongan kebajikan dan jumlah perumahan awam.

Pada Selasa, dengan kehadiran penggantinya Hipkins, Ardern membuat ucapan perpisahan de facto sebagai Perdana Menteri New Zealand.

Pada hari terakhir di pejabat, pemimpin Buruh itu berkata pemergiannya tidak boleh dilihat sebagai  sesuatu yang negatif terhadap New Zealand.

“Saya memperoleh kasih sayang, belas kasihan, empati dan penuh kebaikan semasa bertugas — itulah pengalaman utama saya,” kata Ardern semasa melawat bandar Ratana bersama Hipkins.

Ardern berkata beliau akan kekal sebagai  Ahli Parlimen Mt Albert namun tidak akan bergiat aktif dalam politik.

Hipkins pula berkata beliau dan Ardern bersama-sama mengenang kembali pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini dan menambah “ia adalah saat yang pahit”.

Pilihan raya umum New Zealand 2023 akan diadakan pada 14 Okt. 2023. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.