Brunei mahu projek dirancang dengan Malaysia dipercepatkan, kata Anwar

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN, (BRUNEI) 25 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Brunei mahu kerjasama yang dirancang dengan Malaysia dilaksanakan dengan segera.

Menurut Perdana Menteri, perkata itu dinyatakan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ketika sesi menghadap di Istana Nurul Iman hari ini sempena lawatan rasminya.

“Apa yang dapat saya lihat, Tuanku (Sultan Hassanal Bolkiah) berulang kali mengatakan tentang hasrat supaya mempercepatkan projek yang dirancang.

“Baginda mahu perlaksanaan yang lebih berkesan serta berfaedah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Yang turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ditanya mengenai bidang yang menjadi minat Brunei untuk segera bekerjasama dengan Malaysia, Perdana Menteri berkata, sektor industri halal dan aspek pendigitalan merupakan antara perkara yang disebut.

“Oleh itu, kita serahkan kepada Kementerian Luar dan agensi berkaitan untuk membuat tindakan susulan bersama dengan Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak,”katanya.

Sementara itu, Anwar memaklumkan, beliau telah menyembah maklum kepada Sultan Brunei bahawa Malaysia akan segera menyediakan kemudahan tambahan bagi mempercepatkan proses lalu lintas dan pelancongan di kawasan sempadan.

“Kita melihat kepada ibu kota Indonesia yang baharu iaitu Nusantara yang akan mempunyai kepentingan kepada Malaysia terutamanya di perbatasan Sabah dan Sarawak.

“Kemudahan tambahan ini akan mempercepatkan pergerakan tiga negara dan saya turut menyebut tentang inisiatif Kerajaan Sarawak untuk meluluskan jajaran jalan di pesisir pantai,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.