Bajet 2023: Tiada golongan dipinggirkan, kata Anwar

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN, (BRUNEI) 25 Jan: Tiada golongan yang akan dipinggirkan dan keperluan setiap lapisan masyarakat diambil kira dalam Bajet 2023, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Itu jaminan diberikan oleh Perdana Menteri berkenaan pembentangan semula Bajet 2023 bulan depan.

Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, keperluan setiap lapisan masyarakat termasuk golongan M40 akan dipenuhi kerajaan.

“Belum siap lagi (Bajet 2023), inilah masalahnya. Sarawak ada minta (peruntukan), Sabah pun ada minta (peruntukan).

“Di bawah (pentadbiran) saya, (M40) tidak dipinggirkan. B40 penting, tapi M40 juga kita akan berikan perhatian,” katanya dalam sidang media pada akhir lawatan dua hari ke Brunei di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Bajet 2023 akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini susulan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, Bajet 2023 yang bakal dibentang semula bulan depan, tidak akan terikat dengan apa yang dibentang oleh kerajaan terdahulu pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, cadangan yang dibuat dalam pelan belanjawan terdahulu tetap diambil kira dalam perangkaan Bajet 2023 yang baharu ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.