Anwar iktiraf kemajuan ekonomi hidrogren dan digitalisasi Sarawak

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN (BRUNEI) 25 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf usaha Sarawak yang meneroka sektor baharu ekonomi hidrogen yang telah membuahkan hasil.

Perdana Menteri berkata, Sarawak kini telah terkedepan dalam sektor berkenaan malah turut menonjol dalam aspek pendigitalan.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan terus menyokong usaha Sarawak.

“Apabila saya sebut ekonomi, perniagaan harus maju menerusi bidang baharu seperti di Sarawak, hidrogen dan digitalisasinya berkembang pesat dan kita harus guna seluruh kekuatan untuk sokongan usaha sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir majlis makan malam dengan rakyat Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini malam tadi.

Yang turut hadir, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Majlis yang diadakan sempena lawatan rasmi Anwar di sini selama dua hari turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Mengulas lanjut mengenai usaha Sarawak, Anwar berkata, pelbagai sektor lain juga perlu ditingkatkan termasuklah pelancongan kerana ia akan membuka peluang pekerjaan baharu dan membantu kelangsungan pemain industri.

Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, Malaysia kini sedang menumpukan sepenuhnya usaha memacu pertumbuhan ekonomi dengan menyokong penuh agenda sesebuah negeri.

“Tumpuan kita adalah pacu pertumbuhan ekonomi kerana pembangunan ekonomi ini adalah asas kerana segala usaha membela nasib rakyat miskin, membina sekolah yang lebih baik atau menyediakan peluang pekerjaan  lebih banyak bermula daripada pembangunan ekonomi,” ujarnya.

Kata Anwar, beliau juga sangat menggalakkan negeri-negeri di Malaysia untuk menerokai bidang baharu dan akan memberi dorongan untuk meningkat maju.

Menjawab soalan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada sesi berkenaan, Anwar sekali lagi memberi jaminan Kerajaan Perpaduan akan menghormati prinsip yang dimeterai oleh negarawan ketika itu.

Kata beliau, rundingan MA63 telah mencapai banyak kemajuan.

“Itu (kandungan perjanjian) telah disepakati oleh bapa – bapa kemerdekaan kita, kita buat perjanjian, kena hormat, itu yang saya lakukan,” katanya.

Anwar berkata, beliau berterima kasih kepada pemimpin di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang memberi kerjasama untuk menjayakan rundingan MA63.

“Bagi saya, mesti ikhlas kerana tidak baik dalam negara sistem federal, ada perasan tersisih (dirasai) oleh mana – mana negeri dan wilayah,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.