Anwar cadang lebih banyak penerbangan Sabah dan Sarawak dengan Brunei

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN (BRUNEI), 25 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar lebih banyak penerbangan melibatkan laluan Sabah dan Sarawak dengan Brunei ditawarkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

Kata Perdana Menteri, ini kerana Sabah dan Sarawak akan menerima tempias ekonomi berikutan hasrat Brunei mahu menjadi hab utama penerbangan antarabangsa di rantau ini.

Katanya, sekiranya perkara itu dilakukan, ia akan dapat mewujudkan sektor dagangan baharu dengan Brunei.

“Oleh itu saya sarankan lebih banyak penerbangan melibatkan laluan Sarawak-Brunei dan Sabah-Brunei diwujudkan bagi melengkapkan laluan perdagangan dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan rasminya.

Yang turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Sabah dan Sarawak perlu merebut peluang berikutan Bandar Seri Begawan merupakan pusat penerbangan antarabangsa yang mempunyai banyak penerbangan keluar masuk.

“Oleh itu, jika kita tambah penerbangan ke Sarawak dan Sabah, ini akan memberi peluang kepada dua-dua negara memacu pertumbuhan perdagangan dan pelancongan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.