Sarawak kukuhkan kerjasama pelbagai bidang dengan Brunei

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN, (BRUNEI) 24 Jan: Kerajaan Sarawak optimis untuk mengukuhkan kerjasama dengan Brunei dalam pelbagai sektor yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

Menurut kenyataan Kerajaan Sarawak yang dikeluarkan melalui Pejabat Premier Sarawak, perkara ini akan direalisasikan menerusi Jawatankuasa Bersama Brunei – Sarawak di peringkat menteri dan dibantu oleh Kumpulan Kerja Bersama di peringkat pegawai kanan untuk hubungan dua hala.

“Antara yang diberi penekanan ialah Sarawak akan melanjutkan Malaysia Frequent Traveler Programme (BMFTP) ke Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Merapok dan Sindumin untuk memudahkan pelancong ke Kota Kinabalu.

“Waktu operasi CIQS antara Sarawak dan Brunei juga disambung semula kepada waktu operasi biasa bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam bagi memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka proses digitalisasi di kedua-dua pusat pemeriksaan bagi mempercepatkan pergerakan pelancong,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan ini menyusul selepas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Mesyuarat Pra Majlis sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei bermula hari ini.

Abang Johari kini berada di Brunei selama dua hari untuk lawatan kerja bermula hari ini.

Beliau yang menaiki pesawat khas tiba pada pukul 12 tengah hari tadi dan menyertai Perdana Menteri menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis pada pukul 5 petang tadi.

Malam ini Abang Johari menghadiri jamuan malam dan lawatan ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia bertempat di High Commission of Malaysia, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan bersama Anwar.

Esok, Abang Johari dijadualkan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Seterusnya, Abang Johari akan menyertai Majlis Santapan Rasmi di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman dan berangkat pulang  ke Miri, Sarawak pada pukul 5 petang. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.