Pertarungan di Bangkok beri ‘pengajaran’ kepada Jackson Chambai

Spread the love

KUCHING, 24 Jan: Pertarungan menentang bekas juara remaja dunia pada Kejohanan Tinju Asia Bawah 22 di Bangkok, Thailand minggu lalu memberi pengajaran berguna kepada atlet negara, Jackson Chambai.

Petinju kelahiran Sarawak itu berkata, biarpun tewas di peringkat suku akhir kepada Sanzhar Tashkenbay dari Kazakhstan namun dia memberi tentangan sengit kepada lawannya itu.

“Saya berpuas hati kerana dapat menamatkan pertarungan dalam tiga pusingan ketika menentangnya.

“Sememangnya perlawanan di luar negara menentang petinju terbaik Asia dan dunia memberi pengalaman baharu kepada saya,” katanya kepada TVS.

Baca artikel berkaitan: SUKMA: Emas kedua tinju disumbang Jackson Chambai

Tidak menunggu lama, atlet berusia 22 tahun ini berkata, dia mahu menebus kehampaan di Bangkok dengan menampilkan aksi terbaik pada Terbuka Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan, hujung bulan ini.

Atlet berasal dari Saratok ini berkata, dia menyasarkan untuk menang pingat emas bagi kategori 48 hingga 51 kilogram (kg).

“Bagaimanapun saya sedar ia tidak semudah yang disangka kerana akan berdepan saingan sengit petinju tempatan yang lain terutamanya dari Pulau Pinang dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Jackson yang menyumbang emas kepada Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 berkata, dia turut mempunyai misi pada Sukan SEA di Kemboja tahun ini.

“Selepas SUKMA, saya dipanggil sertai skuad kebangsaan dan antara kejohanan penting tahun ini ialah pada temasya itu, sudah tentu saya mahu tampilkan aksi terbaik,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.