JBPM Sarawak sedia hadapi Monsun Timur Laut

Spread the love

KUCHING 24 Jan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak telah membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negeri ini sejak semalam.

Pengarahnya, Datu Khirudin Drahman berkata, peralihan cuaca yang dijangka itu boleh menyebabkan berlakunya ribut petir, hujan lebat dan seterusnya banjir kilat di kawasan rendah.

“JBPM telah bersiapsiaga lebih awal. Kita melibatkan kerjasama pelbagai komuniti kerana faktor geografi Sarawak yang luas,” katanya kepada TVS di sini hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran yang Sarawak merupakan antara negeri yang dijangka akan terkesan berikutan MTL.

Kawasan yang terlibat ialah Kuching, Samarahan, Serian, Bintulu, Betong, Meradong, Mukah, Sarikei dan Bintulu.

Sementara itu, beliau memberitahu, amalan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan di 39 balai bomba di negeri ini juga didapati telah dilaksanakan dengan baik.

Pada masa sama, Khirudin turut menggesa masyarakat agar mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh JBPM Sarawak berhubung langkah-langkah yang perlu diambil ketika menghadapi peralihan cuaca Monsun Timur Laut.

Tegas Khirudin, perkara itu penting memandangkan cuaca buruk tetap berlaku setiap tahun.

“Namun, pihak kami yakin bencana atau musibah besar dapat dielakkan sekiranya langkah awal diambil oleh masyarakat,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.