Asyik sabung ayam, lapan lelaki termasuk empat warga emas ditahan

Spread the love

KAPIT, 24 Jan: Lapan lelaki tempatan termasuk empat warga emas ditahan dalam serbuan ‘Op Limau’ ketika sedang asyik menyabung ayam di sebuah gelanggang aktiviti itu di Jalan Bena, di sini.

Kejadian pada petang Isnin lalu menyaksikan mereka berusia antara 35 hingga 67 tahun itu gagal meloloskan diri ketika diserbu sepasukan Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kapit pada jam 3.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kapit Asisten Superintendan (ASP) Anthony Apui berkata ketika serbuan sekumpulan lelaki bertempiaran melarikan diri namun hanya lapan daripadanya berjaya diberkas.

“Mereka ini berdepan denda RM500 atau penjara tidak melebihi tiga bulan selepas mereka dicekup jika disabitkan kesalahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya serbuan di kawasan lapang kira-kira 50 meter dari sebuah rumah panjang dilakukan hasil daripada maklumat orang ramai di sini.

“Kehadiran pihak kami telah menyebabkan sekumpulan lelaki sekadar tercengang kerana tidak sempat melarikan diri manakala yang lain meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran,” ujarnya.

Dalam serbuan itu, katanya polis turut merampas dua ekor ayam mati, satu unit alat penimbang, sehelai kain kanvas, papan taruhan dan wang tunai.

Anthony memberitahu hasil tangkapan dan rampasan berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-langkah Pencegahan dan Penganiayaan Binatang 1962.

“Jika disabitkan kesalahan, kesemua suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 5(3) Ordinan yang sama serta boleh dihukum penjara 3 bulan atau denda RM500,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan masyarakat khususnya di Kapit agar sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa serta tidak terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.