Anwar selamat tiba di Brunei untuk lawatan rasmi

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN, (BRUNEI) 24 Jan: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini sebentar tadi bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari.

Pesawat khas membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendarat kira-kira pukul 3.12 petang.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah selaku wakil peribadi Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Anwar diberi sambutan negara apabila lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Brunei dimainkan.

Perdana Menteri seterusnya diberi penghormatan untuk memeriksa barisan kehormat Rejimen Pengawal Diraja Brunei.

Turut menyambut ketibaan Anwar ialah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pesuruhajaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah serta barisan menteri dan timbalan menteri Brunei.

Sejurus itu, Anwar terus dibawa ke The Empire Brunei untuk menghadiri Mesyuarat Pra Majlis yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari juga berada di sini bagi lawatan kerja dua hari.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Perdana Menteri ke luar negara sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Ketibaan Anwar turut disiarkan secara langsung oleh TVS dengan siaran itu turut dipancarkan menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Malam ini, Anwar dijadual akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.