Anak jati Miri kaji pemulihan orang buta di England

Spread the love

KUCHING, 23 Jan: Sejak 16 tahun lalu menjalankan kajian fungsi pancaindera visual dalam jangka panjang dan biomarker plasma pada pesakit yang menerima ubat Vigabatrin, Dr Kaleena Bulan Michael berusaha menilai fungsi retina dalam jangka panjang bagi pesakit yang mengambil ubat berkenaan.

Anak jati Miri ini juga merupakan perunding pakar mata dan pakar bedah vitreo-retinal Sarawak berkata kajian berkenaan dilaksanakan menerusi kejayaan beliau menamatkan pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) dalam Kajian Klinikal dan Pembedahan Sains Optometri baru-baru ini.

Menurutnya kajian juga menjurus bagi mengenal pasti sama ada Vigabatrin berkesan untuk digunakan dalam epilepsi refraktori dan kekejangan bayi namun penggunaannya di seluruh dunia dihadkan kerana menyebabkan kesan toksik pada retina.

“Matlamat utama kajian ini adalah untuk menilai perkembangan ketoksikan retina dalam tempoh 10 tahun kerana maklumat ini penting namun masih tidak diketahui ketika ini,” katanya kepada TVS di sini, baru-baru ini.

Beliau akui, perjalanannya untuk melengkapkan ijazahnya bukanlah satu perkara yang mudah.

Justeru itu, Dr. Kaleena,40, berharap agar kajiannya berpotensi untuk memperoleh maklumat baharu mengenai prognosis toksik retina yang dikaitkan dengan Vigabatrin.

“Pusat kami sebelum ini menyelesaikan salah satu kajian antarabangsa terbesar iaitu menyiasat berkaitan Vigabatrin ketoksikan retina, membezakan kesan patologi daripada fisiologi Vigabatrin pada penglihatan dan untuk mendokumentasikan kecacatan medan penglihatan yang sedia ada dalam 25 peratus pesakit dengan
epilepsi.

Tambahnya yang telah menetap di Scotland selama 20 tahun, beliau juga turut terlibat dalam beberapa projek berkenaan pemulihan pancaindera penglihatan sebelum ini.

“Kami mengusahakan projek yang dipanggil pengimejan hiperspektral pada mata, saya telah bekerjasama dengan pelajar PhD jurusan kejuruteraan dari University of Strathclyde manakala saya merupakan pakar mata dan pelajar PhD dari University of Glasgow,” ujarnya.

Menerusi kepakaran yang ada pada dirinya, Dr Kaleena bersama pasangannya sejak itu mempunyai beberapa kertas kerja serta terlibat dalam pelbagai persidangan antarabangsa.

“Secara teknikal ia adalah penyelidikan kejuruteraan yang cuba melihat bagaimana kita boleh menambah baik dan menginovasi pemeriksaan mata dan memintas kaedah tradisional,” ujarnya lagi sambil mengakui peranannya sebagai seorang doktor perubatan dalam penyelidikan.

Mengakui beliau tidak mempunyai kemahiran teknikal atau analisis seperti yang dimiliki oleh seorang jurutera namun beliau berupaya menyumbang nasihat tentang hala tuju penyelidikan yang boleh membantu pesakit dalam situasi sebenar.

Katanya lagi, jurutera dan saintis mungkin boleh menghasilkan pencapaian, namun, ia tidak boleh diterjemahkan ke persekitaran klinikal sebenar tanpa pakar nasihat daripada doktor.

Oleh demikian, beliau ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memberi sokongan dan galakan ketika dirinya menyiapkan kajian sebelum ini.

“Saya ingin berterima kasih kepada para sukarelawan yang telah mengambil bahagian dalam kajian ini, tanpa mereka semua kajian ini tidak akan dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau mendedahkan bahawa seramai 28 orang telah mengambil bahagian dalam kajian tersebut merangkumi para responden yang merupakan pesakit daripada Pusat Penyelidikan Oftalmik Glasgow dan Unit Epilepsi, Infirmari Barat/Glasgow Rumah Sakit Diraja, Glasgow, UK.

“Saya juga amat berterima kasih kepada rakan sekerja saya, Dr Linda Stephen dan Profesor John Paul Leach di Pusat Glasgow Penyelidikan Oftalmik kerana telah memberi input, kritikan dan perspektif yang penuh semangat dalam mencorakkan perjalanan penyelidikan ini,” jelasnya.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.