Tuai rumah maut kemalangan motosikal di Selangau

Spread the love

MUKAH, 23 Jan: Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua buah motosikal di Kilometer (KM) 73, Jalan Sibu-Bintulu, dekat sini, pagi tadi.

Mangsa, Ngelambai Gani, 76, yang merupakan tuai rumah di Rumah Jimbau Sebadal Kiba, Selangau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 9 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Selangau ke Sibu dan bertembung dengan sebuah motosikal lain yang ditunggang seorang lelaki berusia 50 tahun dari arah bertentangan.

“Penunggang warga emas terbabit telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala serta patah tangan dan kaki kiri,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Katanya, penunggang motosikal yang bertembung dengan mangsa turut cedera parah di bahagian kepala dan patah kaki kiri.

Menurut Muhamad, mayat mangsa telah dibawa oleh polis ke bilik mayat Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut polis mendapati penunggang motosikal yang cedera parah tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan didapati menunggang motosikal secara melawan arus,” katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.