Tradisi rumah terbuka lambang perpaduan di Sarawak

Spread the love
https://youtu.be/e9rCW8kPjb8

MIRI, 23 Jan: Tradisi mengadakan majlis rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina sangat baik dan harus dikekalkan kerana membuktikan perpaduan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, Sarawak selama ini telah menjadi satu contoh perpaduan yang harmoni.

“Pemimpin-pemimpin Sarawak yang lepas dan sekarang juga mengutamakan perpaduan dan keharmonian rakyat kita. Sebab itu hari ini, kita boleh melihat Sarawak mempunyai suasana kehidupan masyarakat pelbagai kaum yang sangat baik sekali,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan harapan terhadap rundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dapat diselesaikan di bawah Kerajaan Perpaduan bagi mendapatkan semula hak-hak dan kepentingan Sarawak.

“Seperti mana yang kita sedia maklum, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak memang memberi perhatian berat untuk mendapat segala hak-hak yang telah diambil dan terhakis dikembalikan kepada Sarawak.

“Beberapa aspek telah pun tercapai, tetapi masih ada yang tinggal, yang masih dalam perundingan. Kita berharap apa-apa perkara MA63 itu, semuanya akan dapat diselesaikan di bawah Kerajaan Perpaduan,” ujarnya lagi.

Katanya, penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dilihat sebagai langkah yang positif bagi mencapai matlamat dan memudahkan lagi urusan perbincangan tuntutan hak Sarawak yang terkandung dalam MA63 secara terperinci. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.