Isu Islamofobia di Sweden antara akan dibincang dengan Brunei – Zambry

Spread the love

SEPANG, 23 Jan: Wisma Putra akan membincangkan mengenai pendirian Malaysia dan Brunei terhadap isu Islamofobia yang berlaku di Stockholm, Sweden pada lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei, yang dijadualkan bermula esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga selaku menteri pengiring Anwar pada lawatan rasmi itu berkata beliau akan membincangkan perkara berkenaan bersama rakan sejawatnya, Erywan Mohd Yusof.

“Oleh kerana hal ini menyentuh kedudukan umat Islam seluruh dunia yang dilakukan ektremis, tentunya ia akan mencetuskan keprihatinan Malaysia-Brunei.

“Jadi saya akan bincang dengan rakan sejawat saya pada sesi lawatan rasmi ini,” katanya kepada Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, Rasmus Paludan yang merupakan pemimpin parti pelampau kanan Denmark “Stram Kurs”, diberikan kebenaran membakar Al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden hingga membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.

Tindakan itu turut menarik perhatian Anwar yang dilaporkan berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia dan menggesa Kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu, selain memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.

Anwar dijadual mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei mulai esok. Brunei merupakan destinasi kedua lawatan rasmi Anwar, selepas dilantik ke jawatan itu pada November lepas.

Menyifatkan tindakan Paludan sebagai melampaui batas persefahaman serta tidak menghormati kehidupan beragama, Zambry berkata perbuatan seumpama itu sudah pasti tidak dapat diterima mana-mana negara bertamadun.

“Mereka cakap soal demokrasi tetapi ini bukan tindakan sepatutnya. Sebaliknya perlu jaga keamanan dan kestabilan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan keamanan dan menerapkan sikap hormat menghormati antara pelbagai kaum serta agama dalam kalangan rakyat.

“Anwar terkenal sebagai seorang yang gemar adakan dialog peradaban, ini sepatutnya dilakukan bukan cetuskan Islamofobia,” katanya.- TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.