Anwar diraikan orang kampung di Cherok Tok Kun

Spread the love

BUKIT MERTAJAM, 23 Jan: Kepulangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kampung halamannya di Cherok Tok Kun di sini disambut meriah pada Majlis Kenduri Rakyat Bersama Perdana Menteri yang diadakan di Galeri Pejuang hari ini.

Galeri Pejuang merupakan kediaman keluarga beliau iaitu tempat Perdana Menteri dibesarkan.

Ribuan rakyat hadir bagi meraikan Anwar yang kali pertama pulang ke kampung halaman selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri menyertai solat Maghrib berjemaah di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah tidak jauh dari kediaman berkenaan.

Perdana Menteri berkata, ia merupakan kali pertama beliau terpaksa mengikut protokol sebagai Perdana Menteri biarpun sebelum ini lebih selesa mendekati rakyat di kawasan itu secara santai dan tidak formal.

“Apa pun kedudukan kita, kita mesti mengakar ke bumi. Kita tak boleh lupa (diri).

“Mungkin di Putrajaya disediakan rumah rasmi ibarat mahligai, tetapi jangan itu memukau kita sebab kita rasa kita ini insan terangkat (darjat).

“Oleh itu saya memohon kerjasama (penganjur) untuk mengadakan majlis sesederhana mungkin,” kata beliau semasa ucapannya pada majlis berkenaan.

Majlis itu turut disertai Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd. Noor.

Sebelum itu, pada sebelah petang, Perdana Menteri menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang di Relau, George Town dekat sini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.