Tahun Baharu Cina kukuhkan perpaduan rakyat Sarawak – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 22 Jan: Sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan setiap tahun menjadi wadah perpaduan buat masyarakat berbilang bangsa di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perayaan ini tidak lagi hanya disambut oleh kaum Tionghua malah juga seluruh rakyat Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian simbolik Yee Sang di Ibu Pejabat SUPP. Foto: BERNAMA

“Ini sudah menjadi budaya kita di Sarawak dan sudah tentu dengan adanya perpaduan yang kukuh kita dapat terus membangunkan masyarakat kita dan negeri untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden SUPP, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. 

Bersempena dengan Tahun Arnab, Abang Johari berkata mengambil contoh semangat pada haiwan itu yang tidak mudah berputus asa, rakyat Sarawak akan dapat mengharungi apa jua halangan yang dihadapi.

Terdahulu, Rumah Terbuka Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh SUPP telah menerima kunjungan sekurang-kurangnya 10,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bangsa. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.